14 April 2011

WAWASAN 2020 - REALITI ATAU ANGAN-ANGAN?

Oleh : kayurapuhmanggapatah@yujisasau

Selepas Bapa Pemodenan, Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri, Tun Abdullah pula mencetuskan perjuangan Islam Hadhari. Kini, slogan 1Malaysia dilaung-laungkan di bawah tampuk pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak. Apa pula mesej yang bakal disampaikan dalam teraju utama perjuangan ini?

Mereka (Perdana Menteri) mempunyai misi dan ideologi tersendiri dalam memacu negara pada era pemerintahan masing-masing. Jelas sekali mereka mempunyai cita-cita mahu mencipta sesuatu yang dapat menggambarkan identiti atau ‘trademark’ tersendiri ketika menerajui negara. Umum pasti tahu siapa ‘dalang’ utama di sebalik cetusan idea bernas Wawasan 2020 iaitu Tun Dr. Mahathir dalam misi jangka panjangnya yang telah diperkenalkan pada 28 Februari 1991. Kini hanya berbaki 9 tahun untuk kita lihat hasilnya. Mampukah negara mencapainya? Masih relevankah perjuangan ini?



Daripada perspektif ekonomi, Malaysia perlu menghadapi banyak cabaran untuk mencapai Wawasan 2020 memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Perlu diingat bahawa misi untuk menjadi negara maju pada tahun 2020 akan tercapai dengan mempertahan dan menambah segala perkara yang kita telah perolehi. Jangan asyik mengejar kemajuan sehingga leka dengan kesan buruk yang mungkin berlaku dan boleh mewujudkan bencana alam atau dalam erti kata sebenarnya membawa kehancuran kepada negara ibarat kata pepatah ‘Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.

Malaysia banyak belajar daripada setiap tragedi yang melanda dunia. Tahun 1998 merupakan ujian yang paling mencabar bagi negara kita kerana ekonomi dunia meleset dengan teruk. Impian untuk Malaysia menjadi negara maju pada tahun 2020 hampir musnah ketika itu tetapi Malaysia tetap teguh dan dapat bertahan walaupun banyak institusi daripada pelbagai sektor terpaksa memberhentikan ramai pekerja mereka.

Pada tanggal 28 Februari 2010, Datuk Seri Najib Razak telah membuat pengumuman bahawa Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun tersebut telah melebihi sasaran awal kerajaan iaitu sebanyak 6 peratus. Tahun ini (2011) pula diramalkan akan mengalami kenaikan sebanyak 5 hingga 5.5 peratus. Nilai ini diakui tinggi jika dilihat daripada perspektif pertumbuhan ekonomi negara. Tetapi, ia tidak bermakna Malaysia berada di zon selamat kerana keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu dan sukar diramalkan.

Sejak kebelakangan ini, banyak pergolakan yang tercetus dan terbaru ialah di Timur Tengah dan Afrika Utara. Pasaran saham dunia termasuk Malaysia diramal terus mengalami kejatuhan sekiranya pergolakan politik tersebut berlarutan dan keadaan akan lebih terjejas sekiranya ia membabitkan lebih banyak negara pengeluar minyak.

Selain daripada pergolakan yang berlaku, bencana alam juga boleh menjadi punca keadaan ekonomi dunia terganggu tambahan pula negara yang mempunyai pengaruh besar terhadap ekonomi dunia. 11 Mac baru-baru ini kuasa besar ekonomi dunia iaitu Jepun dilanda gempa bumi dan menyebabkan tsunami. Ia telah memusnahkan kira-kira 500 kilometer pantai Jepun termasuk letupan loji nuklear yang kini membawa kesan pencemaran radiasi nuklear.



Malaysia perlu mengambil iktibar dan belajar daripada tragedi yang telah melanda negara lain agar lebih bersiap sedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan. Menurut Pensyarah Ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Amir Hussin Baharuddin, Malaysia bernasib baik kerana mempunyai sumber kepentingan yang boleh diguna pakai untuk kepentingan negara antaranya sektor pertanian, perikanan, perindustrian dan cari gali minyak. Hal ini dapat membantu Malaysia mengekalkan kestabilan ekonomi di samping menjadi tempat ‘selamat’ bagi pelabur asing.

Tambahnya lagi, nilai eksport dan import negara akan menurun akibat bencana di Jepun tetapi tidak memberikan kesan jangka panjang. Begitu juga dengan pergolakan yang berlaku di Timur Tengah dan Afrika Utara, ia hanya memberikan kesan jangka pendek kepada Malaysia. Institusi tempatan mampu mempertahan nilai pasaran saham dan kemungkinan besar tiada krisis berpanjangan akan berlaku lagi.

Dr. Saidatulakma Mohd, Pensyarah Ekonomi di Universiti Sains Malaysia (USM) berpendapat bahawa kesan jangka pendek yang mungkin dihadapi oleh Malaysia ialah kenaikan kadar inflasi. Bencana yang telah melanda di Jepun contohnya menyebabkan banyak syarikat Jepun menutup operasi perniagaan dan ia akan mengganggu penawaran barangan dan sekiranya permintaan melebihi penawaran, sudah pasti ia akan meningkatkan harga barangan di pasaran.

Dalam keadaan berjaga-jaga daripada faktor luaran yang mungkin akan mempengaruhi ekonomi negara, faktor dalaman juga sebenarnya boleh menggugat impian untuk menjadi negara maju pada tahun 2020. Tun Dr Mahathir Mohammad iaitu pengasas Wawasan 2020 juga telah menyuarakan pendapat beliau dalam satu artikel Utusan Online bertarikh 30 September 2010 bahawa jika Malaysia mahu mencapai impian tersebut, beberapa strategi perlu dilaksanakan.

“Bagaimanapun, Malaysia masih mampu mengejar impian itu jika kerajaan sanggup untuk melaksanakan beberapa perubahan penting, antaranya mengurangkan pelaburan langsung asing (FDI),” katanya semasa menyampaikan ucapan penutup di Forum CEO 2010. Jika kita perhatikan, FDI tidak lagi releven buat masa sekarang kerana negara hanya mendapat 10 peratus perolehan daripada pelabur asing di samping meningkatkan aliran keluar wang dari negara kita.

Menurut Tun Dr. Mahathir, Malaysia memperkenalkan strategi tersebut untuk mengatasi masalah pengangguran ketika kemelesetan ekonomi dahulu tetapi kini tidak lagi ia begitu efektif. Jika masih mengamalkan strategi ini lagi, dikhuatiri akan membawa lebih banyak kesan negatif kepada negara terutamanya dari perspektif ekonomi.

Perkara sama pernah dikatakan olehnya dalam temubual bersama Majalah Jutawan pada Mei tahun lalu. Apabila ditanya tentang Wawasan 2020, beliau secara terus terang berasa tidak yakin negara akan mencapai misi tersebut dan hanya berkemungkinan 30 peratus sahaja yang negara mampu capai.

Katanya, “Jika kerajaan tetap komited mahu mencapainya, kita perlu tukar pendekatan dan jangan terlalu bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI). Sekarang FDI sudah tidak relevan. Kalau ada pun kebanyakannya di negara China dan Vietnam yang jauh lebih rendah kos pengeluarannya”.

Beliau memberikan contoh dua negara iaitu Jepun dan Korea yang sanggup untuk melabur demi memperolehi teknologi moden melalui kemudahan kewangan yang turut dibantu pihak kerajaan. Selain itu, bantuan serta polisi perlindungan yang telah diberi mengukuhkan dan menguatkan institusi terbabit.

Jadi, beliau telah mencadangkan supaya pelaburan langsung domestik (DDI) perlu dilaksanakan. Hal ini kerana institusi tempatan kini mampu membantu mengukuhkan kedudukan ekonomi negara dan terbukti ketika ekonomi dunia sedikit goyah akibat pergolakan yang berlaku di Timur Tengah dan bencana alam yang menimpa Jepun.

“Ada satu syarikat pembuat kapal tempatan yang mengeksport kapal ke seluruh dunia termasuk Norway tetapi tidak pernah menerima tempahan dari negaranya sendiri, kerajaan patut melihat kepada kes-kes sebegini,” katanya.

Tetapi berlainan pula pendapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang dilaporkan oleh wartawan Utusan semasa sesi soal jawab Forum CEO 2010. Beliau menegaskan bahawa kerajaan sangat selektif terhadap FDI, hanya pelaburan yang berkualiti sahaja akan diterima dan sedang dalam melaksanakan perubahan kepada lanskap ekonomi dengan memperkenalkan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).

Penyumbang utama dalam KDNK tahun lalu ialah hasil ETP yang memberikan kesan positif yang merangkumi Model Ekonomi Baru (MBE), 12 bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), 8 Inisiatif Pembangunan Strategik (SRI) dan 131 Projek Penggerak Ekonomi (EPP).

Tahun ini, sebanyak RM67 bilion telah dilaburkan di bawah ETP dalam melaksanakan 19 lagi projek. Usaha ini bukan sahaja akan menjana Pendapatan Negara Kasar (GNI) sebanyak RM36 bilion tetapi turut menyediakan 35 ribu peluang pekerjaan baru.

Persoalan yang timbul ialah sejauhmanakah strategi tersebut dapat membantu negara mencapai sasaran untuk menjadi negara maju penuh pada tahun 2020 kelak?

Usaha yang telah dilaksanakan kerajaan diharap mampu merealisasikan impian setiap rakyat Malaysia untuk hidup dalam negara yang diiktiraf sebagai negara maju. Kerajaan tidak boleh leka dengan pencapaian sedia ada dan tidak boleh sekali-kali angkuh. Rakyat juga harus berubah dan belajar dari kesusahan generasi terdahulu dalam membangunkan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan